Thursday, May 12, 2011

Tips: Penjagaan Tudung Beraksesori :)

Salam semuaa! Nak share tips dengan semua cara penjagaan tudung/shawl beraksesori. Jom baca! :))


  • Membasuh

Tudung adalah antara fabrik yang disarankan agar tidak dibasuh menggunakan mesin. Tetapi lebih baik dibasuh dengan tangan. Jika tudung beraksesori, cara membasuhnya adalah dengan menggunakan sabun kain yang khas untuk fabric lembut (softener). Sabun jenis ini dapat mengelak daripada masalah luntur warna dan rosak pada fabrik. Malah, sabun khas ini sangat sesuai dengan struktur tudung yang lembut.

Bagi tudung beraksesori pada bahagian hujung, lebih baik tidak direndam atau membasuh aksesori tersebut bagi mengelak daripada aksesori rosak, tertanggal atau berkarat.

Bagi yang beraksesori di bahagian awning atau kepala, jangan sesekali gosok pada bahagian tudung tersebut kerana batu yang terlekat pada tudung tersebut akan mudah tertanggal. Jadi, untuk membersihkan kesan solekan pada bahagian dalam tudung, hanya teerbalikkan dan bersihkan secara perlahan-perlahan dan tidak kasar. Lebih mudah untuk menghilangkan kesan solekan tersebut, gunakan sabun badan sahaja. Untuk bahagian luar tudung, celup tudung dalam air sabun beberapa kali dan bilas sehingga bersih.


  • Menjemur

Ketika menjemur pula, jangan sesekali memerah atau mengibas tudung tersebut. Cara begitu akan membuatkan aksesori tudung tertanggal dan rosak. Oleh itu, jempur di ampaian dalam keadaan basah dan sepit tudung agar tidak terbang apabila telah kering. Untuk langkah keselamatan, jangan jemur tudung di bawah sinaran matahari yang terik. Ini kerana, dikhuatiri akan merosakkan struktur kain dan warna pada tudung tersebut.


  • Menggosok

Bukan semua tudung perlu digosok setiap kali selepas membasuhnya. Terdapat juga jenis tudung yang tidak perlu digosok kerana struktur kainnya yang bersifat tidak mudah kedut.

Bagi tudung yang beraksesori dan struktur kainnya yang mudah kedut, cara menggosoknya adalah dengan menyediakan lapik pada meja gosok dengan kain yang tebal dan tebal. Tujuannya supaya ketika menggosok, ia tidak akan terganggu dan aksesori tudung juga tidak akan rosak. Lapik bahagian meja gosok pada bahagian yang tiada aksesori terlebih dahulu. Gosok dengan kadar suhu perlahan kerana kain tudung adalah antara kain yang mudah rosak akibat suhu panas yang tinggi.

Setelah selesai menggosok pada bahagian yang kosong, beralih pada bahagian yang beraksesori pula. Jangan sesekali menggosok pada bahagian batu atau aksesori tersebut, tetapi terbalikkan tudung dan gosok dari bahagian dalam. Ini kerana aksesori akan tertanggal jika digosok terus pada aksesori tersebut. Pastikan juga suhu yang digunakan pada tahap perlahan.

Gunakan penyembur yang telah diisi dengan campuran air dan pelembut fabrik agar kedutan lebih mudah hilang semasa menggosok. Tetapi ingat, sudah memadai dengan menyembur sedikit sahaja.


  • Menyimpan

Tudung adalah antara fabrik yang perlu disimpan di tempat khas dan tidak dicampur dengan pakaian lain. Boleh menggunakan penyangkut tudung khas yang direka untuk memudahkan proses menyimpan.